Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018. Panduan buat para pelajar tingkatan tiga. Pasti anda semua sedia maklum bahawa tugasan sejarah PT3 bagi tahun 2018 adalah mengenai Masyarakat Di Kawasan Tempat Tinggal Anda. Bagi yang sedang menghadapi kesukaran, berikut dikongsikan Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 buat rujukan.
Menurut Jadual Peperiksaan PT3 2018, calon perlu menyiapkan tugasan Sejarah ini bermula dari 2 Mei hingga 25 Mei 2018. Para pelajar harus menghasilkan tugasan dengan usaha sendiri tanpa meniru.
Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Panduan Tugasan
Berikut dikongsikan panduan dalam menghasilkan tugasan Sejarah PT3 2018:
Contoh Soalan Tugasan Sejarah PT3 2018
Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 adalah seperti berikut:
Anda dikehendaki untuk membuat kajian tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal anda.
Hasilkan satu laporan tentang masyarakat setempat yang panjangnya tidak kurang daripada 300 patah perkataan. Tugasan anda hendaklah mengandungi aspek berikut:
- Tajuk Kajian
- Nama Penulis
- Isi Kandungan
- Latar Belakang Tempat Kajian
- Pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat
- Kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat
- Menilai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat
- Dengan merujuk kepada tempat tinggal anda, ulaskan pernyataan berikut
- “..tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini..” (Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman pada 3 Jun 1957 di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur)
- Rumusan
- Sumber Rujukan
- Membentangkan Laporan Hasil Kajian
Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018
Tugasan Sejarah PT3 2018 perlu mengandungi butiran-butiran seperti berikut:
1.1 Tajuk Kajian/Butiran Penulis
(Contoh)
MASYARAKAT DI BANDAR PENGGARAM, BATU PAHAT, JOHOR DALAM SEJARAH
Ditulis Oleh:
Tingkatan:
No. Kad Pengenalan:
Angka Giliran:
1.2 Jadual Kerja/Senarai Semak
BIL | PERKARA | HALAMAN | TARIKH | TANDATANGAN |
1.1 | Tajuk Kajian | |||
1.2 | Jadual Kerja | |||
1.3 | Objektif Kajian | |||
1.4 | Kaedah Kajian | |||
2.1 | Mengumpul Maklumat | |||
2.2 | Kerangka Kasar Penulisan | |||
3.1 | Latar Belakang Tempat Kajian | |||
3.2 | Pembentukan Dan Perkembangan Masyarakat Setempat | |||
3.3 | Kegiatan Sosioekonomi Masyarakat Setempat | |||
3.4 | Menilai Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat Setempat | |||
3.5 | Ulaskan Pernyataan | |||
3.6 | Rumusan | |||
3.7 | Rujukan | |||
4.0 | Penilaian Umum |
1.3 Objektif Kajian
Kerja Kursus Sejarah yang saya jalankan ini bertujuan untuk mengkaji tentang masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Melalui kajian ini saya dapat memenuhi objektif kajian seperti berikut:
- Kajian ini dilakukan secara amnya adalah untuk mengenalpasti sumber-sumber sejarah yang sahih. Ini dapat membantu saya membuat kajian ilmiah dengan tatacara yang betul, jelas dan tepat.
- Kajian ini dapat menambah pengetahuan saya tentang masyarakat di tempat tinggal saya. Selain itu ia dapat memupuk perasaan bangga terhadap tanah air kita. Ia dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Hal ini membawa kepada kesedaran untuk mempertahankan bangsa serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
- Dengan membuat kajian ini, saya dapat mengambil iktibar daripada pembentukan dan perkembangan masyarakat tersebut.
- Kajian ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
1.4 Kaedah Kajian (Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018)
Terdapat lima (5) kaedah kajian yang telah dijalankan untuk mendapatkan maklumat secara terperinci dan bersistematik:
Kaedah analisis dokumen
- Saya juga turut merujuk dokumen dari …………. untuk memastikan kesahihan fakta yang ada. Dengan ini, penulisan kajian saya tidak akan diragui kebenarannya.
Kaedah penyelidikan perpustakaan
- Saya juga turut mengunjungi perpustakaan …………… untuk menjalankan penyelidikan sumber-sumber yang terdapat di situ. Melalui pennyelidikan sumber yang pelbagai seperti buku ilmiah, akhbar dan majalah akan menguatkan lagi hasil kajian saya.
Muat turun internet
- Saya turut menggunakan kemudahan ICT yang terdapat di negara kita. Saya melayari laman sesawang yang tertentu untuk memuat turun bahan-bahan rujukan yang diperlukan.
Bimbingan Guru
- Saya telah mendapat bimbingan dari guru, iaitu ……….
Temubual
- Kaedah yang saya jalankan dalam menyiapkan kerja kursus ini adalah dengan menggunakan kaedah lisan. Saya menemubual seseorang yang menetap di kawasan kajian. Beliau telah memberikan banyak maklumat tentang kawasan tersebut.
2.1 Mengumpul Maklumat (Proses Awal)
Pelajar perlu melampirkan salinan fotokopi keratan akhbar / majalah / rencana / halaman buku, foto, risalah atau sumber-sumber lain seperti:
- Buku Ilmiah
- Akhbar
- Majalah
- Internet
- Televisyen
- Orang Sumber
*Laporan temubual bersama orang sumber boleh ditulis dalam bentuk dialog (soal-jawab).
2.2 Kerangka Kasar Penulisan
Tujuan membuat kerangka kasar adalah untuk memudahkan calon menulis / mengolah laporan. Kerangka kasar akan dibuat selepas calon menjalankan proses awal tugasan iaitu mengumpul maklumat berdasarkan sumber rujukan. Kerangka kasar mengandungi isi-isi penting laporan Masyarakat Di Tempat Tinggal Anda yang dinyatakan mengikut susunan berikut:
- Pengenalan / Latar belakang tempat kajian
- Pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat
- Kegiatan sosioekonomi
- Menilai semangat perpaduan
- Ulaskan kenyataan tokoh
- Rumusan
- Sumber Rujukan
Isi-isi penting bagi setiap perkara di atas dapat membantu calon membuat huraian penuh dalam bentuk penulisan.
3.1 Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Latar Belakang Tempat Kajian
Latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara. Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung.
Oleh itu, calon harus menjelaskan perkara asas tentang latar belakang tempat kajian sebagai pengenalan laporan bagi memberikan gambaran keseluruhan kandungan kajian tersebut.
- Jelaskan latar belakang tempat kajian (lokasi) berdasarkan keadaan/situasi terkini (tinjauan)
- Menemubual orang sumber (pengerusi/ketua kampung/orang lama) bagi mendapatkan maklumat yang tepat.
Contoh penulisan laporan adalah seperti di bawah:
Bandar Batu Pahat (Bandar Penggaram atau Batu Pahat) adalah sebuah bandar di daerah Batu Pahat, Johor, Malaysia. Ia terletak di tenggara Muar, barat daya Kluang, barat laut Pontian, dan di selatan Segamat.
Pada tahun 2009, bandar Batu Pahat adalah kawasan bandar ke-20 terbesar di Malaysia mengikut populasi. Pada tahun 2006, Batu Pahat mengatasi Muar untuk menjadi bandar kedua terbesar di Johor. Dan menjelang 2012, Batu Pahat merupakan kawasan bandar yang ke-16 terbesar di Malaysia dari segi populasi. Dari segi demografi kaum pula, kaum Cina mewakili majoriti populasi iaitu merangkumi 62 peratus. Diikuti kaum Melayu yang merangkumi 36 peratus dan India pada dua peratus. Menjelang hari ini, kebanyakan penduduk Batu Pahat adalah berbangsa Cina.
3.2 Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Pembentukan Dan Perkembangan Masyarakat Setempat
Bagi memudahkan calon-calon mendapatkan maklumat mengenai isi kandungan (pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat). sila cari maklumat berdasarkan poin-poin berikut:
- Menjelaskan serba sedikit asal-usul tempat tersebut (kawasan kajian)
- Individu/pihak terlibat (pengasas)
- Pembentukan (faktor-faktor pembentukan/budaya/kaum)
- Perkembangan (fizikalpenduduk/prasarana/kemudahan/infrastruktur)
Contoh penulisan laporan adalah seperti berikut:
Batu Pahat pada asalnya adalah sebuah penempatan terpencil bagi para bangsawan dan ketua kampung. Terdapat sebuah perbandaran yang memang sudah maju iaitu Bandar Maharani. Ia diwujudkan oleh Dato’ Muhamad Salleh bin Perang atau lebih dikenali sebagai Dato; Bentara Luar pada tahun 1885.
Pada tahun 1892, Penghulu tempatan seperti Penghulu Rahmat bin Ragam (Simpang Kanan) dan Penghulu Kitam bin Mohd. Shah (Simpang Kiri) menghadap Sultan Abu Bakar untuk meminta izin membangunkan sebuah perbandaran di Batu Pahat. Mereka percaya bahawa Dato’ Bentara Luar akan mencipta kejayaan sekali lagi sepertimana beliau berjaya mewujudkan Bandar Maharani iaitu Muar.
Pada 4 November 1892, Sultan Abu Bakar mengarahkan Dato’ Bentara Luar yang sedang menetap di Kampung Senangar untuk datang ke Johor Bahru untuk menghadap baginda. Hal ini untuk berbincang berkaitan pembangunan bandar baru.
Pada bulan berikutnya, Dato’ Bentara Luar memulakan pembangunan bandar Batu Pahat. Tanggal 1 Januari 1894, Dato’ Bentara Luar merasmikan majlis pembukaan Batu Pahat di Bukit Bendera. Pada 1 Disember 1894, sebuah lagi majlis diadakan untuk menamakan Batu Pahat sebagai Bandar Penggaram. Nama tersebut berasal dari Kampung Penggaram, kawasan tempat tinggal Penghulu Rahmat.
3.3 Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Kegiatan Sosioekonomi Masyarakat Setempat
Sosioekonomi adalah kajian hubungan antara aktiviti kehidupan sosial yang melibatkan faktor kemasyarakatan dan faktor ekonomi. Calon perlu membuat kajian dan menjelaskan tentang kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat di kawasan tempat tinggal.
Contoh penulisan:
Batu Pahat merupakan salah sebuah bandar perindustrian di Johor. Ia merangkumi industri pemprosesan tekstil, elektronik, makanan, kayu balak, porselin dan plastik. Terdapat beberapa zon perindustrian termasuk Tongkang Pecah, Parit Raja, sri Gading, Sri Sulong, Lian Aik dan Buditama.
Terdapat syarikat multinasional luar negara yang bertempat di Batu Pahat pada tahun 80-an dan 90-an. Antaranya ialah Sharp Roxy, Fujitsu, Mitsumi dan banyak lagi.
Pertanian juga merupakan salah satu punca pendapatan utama bagi para penduduk tempatan. Batu Pahat kaya dengan sumber getah, minyak kelapa sawit, kelapa dan tanaman koko di Johor. Hasil buah-buahan seperti tembikai betik, nanas, durian dan lebih 20 jenis sayur-sayuran dieksport. Terdapat juga beberapa perkampungan nelayan seperti Segenting yang membekalkan sumber perikanan.
3.4 Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Menilai Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Masyarakat Setempat
Bagi mendapatkan maklumat untuk aspek ini, calon-calon perlu mempunyai kemahiran menilai. Maklumat yang diperoleh daripada penilaian dapat memberi gambaran tentang semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat di kawasan kajian.
Dapatkan maklumat berdasarkan poin-poin berikut:
- Faktor yang menyumbang kepada pengukuhan semangat perpaduan masyarakat
- Cabaran untuk mengekalkan perpaduan masyarakat
- Cadangan untuk memupuk dan mengekalkan perpaduan masyarakat
Contoh penulisan:
Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat adalah amat penting bagi menjamin keharmonian sesama kita. Bukan saja di kawasan Batu Pahat, malah di tempat lain juga. Terdapat banyak faktor yang dapat diambil kira bagi mencapai matlamat ini. Salah satunya adalah saling menghormati antara satu sama lain. Dengan sikap ini, setiap individu dapat merasakan diri mereka dihargai dan setaraf dengan orang lain. Ia menimbulkan perspektif yang baik terhadap masyarakat, lantas membina semangat perpaduan.
Antara cabaran untuk mengekalkan perpaduan adalah perbezaan latar belakang atau kaum. Untuk mengatasi halangan ini, setiap masyarakat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan setiap kaum untuk mengambil bahagian boleh dijalankan. Ia dapat membina semangat kerjasama lantas menghapuskan sikap mementingkan diri dalam kalangan masyarakat.
3.5 Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 : Ulaskan Pernyataan
“..tinggallah dengan baik antara satu dengan lain kerana negeri ini adalah berlainan dengan mana-mana negeri yang ada di dunia ini..” (Petikan ucapan Tunku Abdul Rahman pada 3 Jun 1957 di Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur)
Untuk aspek ini, calon perlu membuat ulasan terhadap pernyataan petikan ucapan Tunku Abdul Rahman seperti di atas dengan merujuk kepada keadaan/situasi terkini kawasan tempat tinggal calon.
Contoh penulisan adalah seperti berikut:
Batu Pahat adalah sebuah bandar yang aman damai di samping masyarakatnya yang berbilang kaum. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana sikap toleransi antara tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India. Saya amat bersyukur dengan keharmonian yang dikecapi di mana saya dapat bergaul tanpa membimbangkan perbezaan antara satu sama lain. Persefahaman yang telah berjaya dicapai ini perlu dikekalkan supaya tiada prasangka antara kaum. Hal ini dapat menjejaskan semangat kemasyarakatan yang terjalin setelah sekian lama.
Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima satu sama lain tanpa wujudnya prasangka. Banyak negara di serata dunia menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Pada pandangan saya, banyak kepentingan dapat diperoleh sekiranya perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.
Diharap agar perkongsian Contoh Jawapan Tugasan Sejarah PT3 2018 ini dapat membantu para pelajar menyelesaikan tugasan dengan mudah. Selamat berjaya buat semua.